“Ampun Tuanku Beribu Ampun, sembah patik harap diampun, patik cuma rakyat jelata, ingin meminta sekelumit masa mendengar bicara rakyat biasa yang makan beras padi cuma. Merafa’ sembah ke bawah Duli Tuanku Sultan serta sekalian Raja-Raja, Ampun Tuanku Beribu Ampun patik memohon ‘sembah derhaka’, maafkan patik menongkah arus mengunjuk rasa patik hanya berpegang pada kata ‘Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah’..”
“Ampun Tuanku Beribu Ampun, patik tak meminta Tuanku turun takhta, tak pula meminta simpati jua..cuma secebis ‘Keadilan’ saja buat patik merasa bahgia..Bersemayamlah Tuanku aman sejahtera di atas Tahkta di Singgahsana”
“Ampun Tuanku Beribu Ampun, sekalian rakyat tahu Tuanku bijaksana memerintah dengan seadil-adilnya..namun pasti ada celanya, kerana kita insan biasa, yang patik rasa salah tak semestinya salah, yang Tuanku rasakan betul belum pasti betul, semua berserah pada Yang Esa..teruslah Tuanku memerintah dengan bijaksana tanpa di pengaruhi pertualang durjana”
“Ampun Tuanku Beribu Ampun, patik bukanlah Si Tuah yang taat setia, membabi buta tanpa usul periksa, namun bukanlah patik Si Jebat derhaka, tetapi jika ditelusuri kisahnya, derhaka Jebat bukan saja-saja, derhaka Jebat bukan kerana kuasa serta harta, derhaka Jebat Keadilan yang dituntutnya, namun tak jua patik salahkan Penguasa..fitnah dan adu domba jadi angkaranya…sekarang seluruh Tanah Melayu tahu kisahnya..derhaka dulu, sekarang tauladannya”
“Ampun Tuanku Beribu Ampun, patik sesekali tidak meminta setitik peluh Tuanku tumpah kerna patik yang hina dina, tak pula patik pinta Tuanku bersusah payah untuk makan patik sekeluarga, janganlah ditangisi keadaan patik ini, dan janganlah Tuanku Murka melihat rakyat mengunjuk rasa, janganlah Tuanku bermuram durja taktala rakyat memperjuangkan hak mereka, jika ada yang menahan tandu yang membawa Tuanku hitunglah dengan budi bicara dengarlah rintihan mereka, tiada niat memporak perandakan pemerintahan Tuanku, cuma ingin berkongsi rasa”
“Ampun Tuanku Beribu Ampun, bukan menolak ketentuan-Nya gugur iman menolak qada’ dan qadar-Nya..patik tak risau kehilangan kuasa kerana sekadar dipinjamkan cuma, kadang hati sakit terasa bagai ditusuk sembilu bisa bila pertualang derhaka mencucuk jarumnya..ketika sang pertualang serta konconya dari ‘seberang’ berbuat derhaka rakyat jugalah menjadi dinding serta tembok buat Tuanku sekalian Raja, bukan minta diangkat menjadi juara cuma sekadar ingatan saja”
“Ampun Tuanku Beribu Ampun, sekian dahulu bicara patik, celoteh bahasa yang tak seberapa, silap salah terkasar bahasa, mohon maaflah yang patik pinta, jika hendak bercerita, keturunan patik berdarah panglima..zaman berzaman mengangkat Raja..tiada rasa ingin menderhaka, taat setia menjunjung kasih, namun takkan patik menurut saja membuta tuli tanpa suara..patik tak hirau jika pertualang menuduh patik derhaka, kerana patik tak risau ditahan dipenjara dunia, kerana patik hamba sehaya tiada harta tiada apa..juga tiada saudara yang akan menuntut bela..cuma yang ada bekal sahaja untuk patik bawa ke ‘sana’..mengadap Tuhan yang Maha Kuasa..Raja segala Raja..Pemerintah yang kekal Abadi, tiada kuasa setanding-Nya, kita menyembah Tuhan yang sama ‘waatiullah hawaatiurasul waulilamriminkum’ Taatlah kepada Allah dan Rasul, serta patuhlah kepada pemerintah yang adil serta mengikut syariat Allah..’takkan melayu hilang di dunia’ jika itu kehendak serta kemahuan-Nya, namun jika Ia berkemahuan maka pupuslah bangsa kita, yang pasti Islam takkan lenyap dan itulah janji-Nya.. ALLAHUAKHBAR! DAULAT TUANKU –sembah patik harap diampun”
2 comments:
mu xjawab lg tag
Patik rakyat Negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini amat merasa sedih dengan Tuanku jua...
Post a Comment