Saat saya menulis ini, tempoh menjelang 16 Sept hanya tinggal sehari sahaja lagi. Tentu sahaja debaran dan degup jantung rakyat Malaysia kian rancak menanti apa yang bakal berlaku .
Masih ada yang bertanya kepada saya mengenai 16 sept meskipun saya telah menulis mengenainya dalam posting yang terdahulu.
Sikap saya jelas dan konsisten sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini . Untuk memberi kenyataan berkaitan , saya tidak mahu dan tidak boleh mendahului taqdir Ilahi . Saya hanya berdoa semoga Allah swt. memberi kekuatan kepada kita semua untuk terus berjuang dan memastikan Islam yang menjadi asas perjuangan kita terus terpelihara .
Sederhanalah dalam tindakan
Sebelum ini pun , bukanlah saya prejudis terhadap usaha untuk menumbangkan UMNO dan BN. Tersangatlah setujunya saya dengan usaha sedemikian. Cuma saya mengeluarkan kenyataan yang kelihatannya kontra dengan semangat 16 Sept adalah bertujuan mewujudkan situasi balance dikalangan kita agar tidaklah keghairahan kita melewati batas dan kewajaran .
Sebagai seorang muslim kita sangat diajar oleh Allah swt agar bertindak dalam serba kesederhanaan .خير الأمور أوسطها
Sebelum ini saya lihat dan saya dengar semua orang yang bercakap mengenai 16 sept agak emosional sehingga kelihatan mereka benar - benar yakin akan berubah kerajaan ini pada 16 sept. Saya suka sangat kalau BN ini dijatuhkan , tetapi dalam kita ghairah berusaha ke arah itu , sebagai seorang muslim kita mempunyai cara dan batas yang tersendiri .
Firman Allah swt :
و لا تقولن لشاىء إني فاعل ذلك غدا إلا أن يشاء الله و اذكر ربك إذا نسيت
و قل عسى أن يهدين ربي لأقرب من هذا رشدا
dan jangan sekali - kali engkau mengatakan terhadap sesuatu " aku pasti melakukan itu besok pagi " kecuali dengan mengatakan "Insyaallah" dan ingatlah kepada tuhanmu apabila engkau lupa dan katakanlah Mudah - mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat (kebenarannya) daripada ini .
Surah al Kahfi : ayat 23 - 24
Setakat yang saya dengar sebelum ini di pentas - pentas ceramah , 16 sept diyakini sepenuhnya tanpa sepatah perkataan Insyaallah . Yakin penuh dengan kehebatan strategi dan think thank Dato' Seri Anwar Ibrahim . Saya sangat bimbang fenomena tersebut. Seolah - olah tuhan pun tidak berhak campur tangan dalam percaturan 16 sept kelak .
Apabila ada pihak yang membentang pandangan kedua serta kelihatan sedikit kontra dengan semangat 16 sept , suasana menjadi riuh dan tidak kurang yang marah kepada saya kerana menganggap saya tidak setuju dengan 16 sept .
Jangan nafikan Taqdir Ilahi dalam Strategi
Berulangkali saya kata , bukan saya tidak setuju tetapi jangan terlalu ghairah sehingga lupa Allah swt yang menentukan segalanya . Setakat strategi , pelan tindakan dan date line untuk bertindak itu tidak mengapa tetapi jangan menghukumkan bahawa ia mesti berlaku atau keterlaluan dalam menonjol kehebatan manusia tanpa disandarkan secara cermat dan hemah kepada ketentuan Ilahi .
Firman Allah swt :
قل اللهم مالك الملك تؤتى الملك من تساء و تنزع الملك ممن تشاء
و تعز من تشاء و تذل من تشاء بيدك الخير إنك على كل شئ قدير
Katakanlah Ya Allah Tuhan yang memiliki segala kerajaan , Engkau mengurniakan kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabut kerajaan dari sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina siapa yang Engkau kehendaki , di dalam genggamanMu segala kebaikan , Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang Maha berkuasa di atas segala suatu .
Surah Aali Imran : Ayat 26
Alhamdulillah , setelah saya bertahan dan menelan serta menerima segala teguran , kritikan balas malah kutukan dari pelbagai pihak , kini mula kedengaran suara - suara yang kendur dari pejuang - pejuang 16 sept.
16 sept hanya tarikh cadangan ....... , kalau tak jadi 16 sept bukan bermakna kita berbohong ....... , 16 sept bukan segalanya ........ , 16 sept hanya satu kemungkinan ....... , 16 sept adalah permulaan ....... , 16 sept kalau tidak jadi kita usaha lagi ....... 16 sept , PAS tidak pernah terikat dengan tarikh tersebut ....... dan berbagai lagi nada yang menunjukkan bahawa kita tidak lagi bergantung penuh kepada 16 sept.
Pandangan kedua senantiasa diperlukan
Saya percaya bahawa kendurnya kenyataan berbanding sebelumnya adalah hasil dari pendangan kedua yang mula disuarakan dengan penuh resah oleh sebahagian ahli dan juga pimpinan .
Begitulah sebenarnya betapa sihat kalau kita sedari awal menerima baik perbedaan pandangan. Pandangan kedua boleh dijadikan sebagai bahan fikir dan renungan untuk mengukur pandangan pertama sementara kita masih ada ruang sebelum membuat keputusan yang putus.
Esok adalah 16 sept .
Insyaallah ! hati kecil saya juga mengharapkan UMNO dan BN runtuh dan ditegakkan Islam di atas runtuhan jahiliyyah tersebut.
Walau saya tidak terlibat direct dalam usaha membentuk kerajaan 16 sept , tetapi saya telah mengabadikan diri kepada perjuangan suci ini sejak 1985 seusia saya 15 tahun. Setelah mengisi borang menjadi ahli , saya segera ke pondok Pasir Tumboh untuk mendalami ilmu agama guna sebagai bekal di sepanjang perjuangan Islam ini.
Sehinggalah tahun 1998 saya pulang dari Mesir , saya berkecimpung sepenuh masa dalam parti tanpa mengira lagi segala tawaran pekerjaan hanya kerana saya mahukan tertegaknya Islam di atas tanahair ini .
Saya menyebutnya secara ringkas bukan ingin menunjuk apa yang telah dilaku tetapi bagi menjawab soalan yang selalu diterjah kepada saya , " awak buat apa ? kalau tak buat apa - apa dok diam sahajalah , bagi Anwar buat ! kacau jer ! "
Astaghfirullahal azim , cukup sedar saya betapa masih banyak perkara yang perlu saya lakukan untuk Islam ini demi ianya tertegak di bumi bertuah tetapi tidaklah pula saya hanya berdiam diri tanpa berbuat apa - apa.
Mungkin juga cara saya meletak diri dalam perjuangan Islam ini tidak sama dengan anda membabitkan diri .
Selamat berjuang buat semua ! semoga dengan izin Allah , bila pun tarikhnya , ruang untuk Islam berkembang dan tegak mekar di atas tanahair kita terus terbuka .
posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi
http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com
Muqaddimah
Assalamualaikum dan selamat datang ke blog areMaL. Blog ini adalah merupakan blog sendirian berhad. Segala yang tercatat dalam blog ini adalah hak pemilik blog kecuali diberitahu. Jika terdapat kesalahan fakta, kesalahfahaman isu atau yang berkaitan dengannya sila hubungi terus blogmaster :D
Jika Allah swt tidak menolongmu apa-apa yang kamu hendak, Nescaya tidak mungkin makhluk dapat menolongmu,Jika Dia tidak menunjukkanmu pada setiap jalan, Nescaya sesatlahmu sekalipun pakar yang menunjukkannya.Perjalanan ini akan terhenti sekejap di lampu isyarat, dan akan diteruskan apabila lampunya bertukar HIJAU. Bersabarlah sekejap menunggu warna HIJAU itu, sementara warna MERAH dan KUNING silih berganti. Tapi ingat enjin jangan dimatikan!" TGNA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment