Kehendakmu untuk tajrid, padahal Allah masih menempatkanmu pada golongan orang yang harus berusaha (kasab) untuk mendapat keperluan sehari-hari, maka kehendak itu adalah daripada syahwat hawa nafsu yang tersembunyi. Sebaliknya, kehendakmu untuk berusaha (kasab), padahal Allah telah menempatkan dirimu pada golongan yang beribadah tanpa perlu kasab, maka kehendak yang demikian bererti menurun daripada cita-cita yang tinggi
Mafhumnya kehendakmu berlepas diri daripada sebarang sebab yang Allah SWT wujudkan bagimu untuk mendampingiNya, seperti mencari rezeki yang halal dan mencari ilmu yang zahir merupakan keinginan hawa nafsu yang tersembunyi.Hal ini kerana syahwat atau hawa nafsu tidak terlepas daripada kehendak Tuhanmu sekalipun bermaksud untuk segera bertaqarrub dengan tajrid kepada Allah SWT yang menciptakanmu.
Sebaliknya kehendakmu kepada asbab atau usaha untuk mendampingi Allah SWT yang menyibukkan kamu daripadaNya yang mulia. Sedangkan Allah SWT telah menetapkan kurniaanNya kepadamu tanpa desakan dan usaha merupakan kecundang daripada himmah (cita-cita) yang tinggi kerana kembali daripada hak (Allah) kepada makhluknya merupakan serendah-rendah martabat. Justeru, akurlah dan redalah dengan kehendak Allah SWT terhadapmu.
Secara ringkasnya, ayat tersebut menceritakan tentang dua keadaan manusia. Ahli Asbab iaitu seseorang yang masih perlu berharap pada sebab-akibat untuk mendapatkan keperluan sehariannya dan Ahli Tajrid iaitu seseorang yang Allah SWT telah letakkannya pada tempat yang tidak lagi perlu berharap pada sebab-akibat. Ayat tersebut juga menyatakan supaya Ahli Asbab tidak perlu tergesa-gesa atau terus melulu untuk ke peringkat Tajrid. Ini adalah kerana perbuatan itu mungkin adalah kehendak hawa nafsu yang tersembunyi dan kemungkinan besar orang tersebut akan kembali kepada kebiasaannya. Ia adalah urusan Allah SWT. Begitu juga dengan sebaliknya, seorang yang Allah SWT telah letakkannya pada peringkat Tajrid sememangnya tidak perlu untuk lagi kembali kepada peringkat Asbab kerana perbuatan itu seumpama berusaha untuk turun ke martabat yang rendah daripada tempat yang tinggi martabatnya.
Dan Allah SWT al-Haq menghendaki kamu berada di tempat yang telah ditetapkan sehingga Dia yang menguruskan keluar kamu sepertimana Dia yang menguruskan masuk kamu dan bukanlah urusanmu untuk meninggalkan sebab bahkan sebab yang akan meninggalkanmu
Syarah al-Hikam syarahan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
http://alhikam0.tripod.com/hikam002.html
No comments:
Post a Comment